Program Musahamah Mtmza Siri 5 Tahun 2023

Program Musahamah Mtmza Siri 5 Tahun 2023

1 September 2023 (Jumaat) – Hari ini telah berlangsung Program Musahamah (Bantuan Kotak Makanan) Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya siri yang kelima bagi tahun 2023 bertempat di Masjid Al-Munir, Mukim Senak, Bachok, Kelantan Darul Naim.

Program dimulakan dengan Kuliah Dhuha yang disampaikan oleh Ustaz Haji Nor Azamir bin Haji Alias, Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Sumbangan berbentuk bantuan tunai dan barangan keperluan harian ini mensasarkan seramai 30 orang penerima dalam kalangan fakir miskin yang merupakan hasil kerjasama pintar bersama Jawatankuasa Masjid Al-Munir, Mukim Senak.

MTMZA turut menyampaikan sumbangan tunai kepada pengurusan Masjid Al-Munir sebagai meneruskan usaha-usaha pengimarahan masjid.

Simbolik penyampaian sumbangan kepada pihak Masjid dan para penerima telah disempurnakan oleh Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Ustaz Haji Nor Azamir bin Haji Alias.

Dalam program yang sama, NGO Muzleem Malaysia turut berbesar hati menyumbangkan 100 kotak barang keperluan sebagai tambahan kepada penerima dalam kalangan asnaf sekitar Mukim Pantai Senok.

Manakala dalam majlis berasingan, MTMZA turut mengadakan program kemasyarakatan melalui penyerahan bantuan tunai dan barangan makanan kepada Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Dhuafa’ Darul Mizan, Bachok iaitu salah sebuah daripada 16 buah rumah kebajikan di bawah seliaan Pertubuhan Kebajikan dan Pembangunan Insan Kelantan.

Simbolik penyampaian sumbangan telah disempurnakan oleh Imam Besar MTMZA dan diserahkan kepada YBhg. Ustaz Dato’ Hj. Mohd Nazry bin Mohammad Nor selaku Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Pembangunan Insan Kelantan.

Hadir sama, Pengerusi Masjid Al-Munir, Mukim Senak, Ustaz Che Soh bin Che Husin, YBrs. Tn Hj Ahmad Fadzli bin Fauzi, Pengerusi NGO Muzleem Malaysia, Penasihat dan Ahli-Ahli Jawatankuasa Masjid Al-Munir serta pegawai dan kakitangan MTMZA selaku urus setia program.

Semoga sumbangan ini akan dapat memberi manfaat kepada semua penerima yang terdiri daripada kategori asnaf sekitar Mukim Pantai Senok.

Turut disumbangkan dalam program ini adalah 60 naskhah Al-Quran Wakaf MTMZA diserahkan kepada pihak Masjid Al-Munir dan 40 naskhah kepada pihak Rumah Kebajikan Darul Mizan.

Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin merakamkan ucapan jutaan terima kasih di atas sumbangan semua pihak khususnya para penyumbang dan semua yang terlibat dalam menjayakan program Musahamah pada kali ini.

      

Leave a Reply

Close Menu