Lawatan Mihrab to Mihrab (M2M) 2023

Lawatan Mihrab to Mihrab (M2M) 2023

19 September 2023, Selasa : Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya (MTMZA) menganjurkan Program Lawatan Mihrab to Mihrab 2023 ke negeri Pulau Mutiara selama 2 hari (19-20 September 2023). Delegasi lawatan seramai 29 orang diketuai oleh AF Us. Rashidi bin Salleh, Penolong Pengarah Kanan, Ketua Unit Dakwah & Komunikasi MTMZA bersama Sekretariat Da’ie Pelancongan MTMZA serta beberapa orang pegawai masjid dan Pemandu Pelancong Masjid dari 2 lagi masjid utama negara iaitu Masjid Negara juga Masjid Putra. Turut hadir bersama 2 orang wakil dari MAIS Islamic Information Centre.

Program ini dirangka bagi membuka peluang kepada para pemandu pelancong masjid bagi masjid-masjid utama negara untuk bertukar-tukar pandangan dan pengalaman dalam menyantuni para pelancong muslim serta bukan muslim yang hadir ke masjid agar dapat merancakkan lagi industri pelancongan islamik di Malaysia ini. Selain itu, para peserta juga akan dapat menghayati serta mengembangkan lagi kemahiran dalam menyampaikan dakwah dan mesej-mesej tentang keindahan Islam kepada masyarakat di luar sana.

Delegasi lawatan akan singgah sebentar di Masjid Panglima Kinta, Ipoh, Perak bagi ziarah mahabbah pemandu pelancong di sana dan seterusnya ke Pejabat Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI) dan Masjid Kapitan Keling, Pulau Pinang bagi sesi taklimat dan latihan serta motivasi oleh YBhg. Dato’ Hj. Kamarudin Abdullah, Presiden IPSI. Selain itu, antara masjid-masjid yang akan dilawati adalah seperti Masjid Bukit Bendera, Masjid Terapung Tanjung Bungah dan juga Masjid Negeri Pulau Pinang. Didoakan semoga program dapat berjalan dengan lancar serta selamat perjalanan pergi dan pulang. Insya-Allah.

Akhir sekali, semoga program seperti ini juga dapat memberi kesan dan membekas di dalam sanubari para peserta. Insya-Allah mudah-mudahan.

     

Leave a Reply

Close Menu