Cyberjaya, 22 Oktober 2024 (Selasa): Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA) dengan kerjasama Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan NGO MyFundAction telah berjaya meneruskan jalinan kerjasama pintar bersama Hospital Cyberjaya, Sepang dalam Program Ziarah RAMAH MTMZA untuk siri ketiga tahun 2024.
Ketua Penolong Pengarah Kanan (Operasi Klinikal) Hospital Cyberjaya, Dr. Faridatul Amla binti Sainal dalam ucapan aluannya menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih atas kehadiran pelawat dari MTMZA, JAKIM dan MyFundAction.
Ustaz Zulkeffly bin Adimun, Penolong Pengarah Kanan yang mewakili Imam Besar MTMZA dalam ucapan balasnya berharap agar hubungan baik yang terjalin pada kali ini akan dapat diteruskan lagi pada masa akan datang. Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih atas kerjasama semua pihak dalam merealisasikan program ziarah pada kali ini.
Program Ziarah RAMAH MTMZA merupakan program menyantuni pesakit dan waris melalui pendekatan psikospiritual Islam selain sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat atau Corporate Social Responsibility (CSR).
Terdahulu, para peserta Ziarah RAMAH telah diberikan taklimat oleh Dr. Noor Hafiza binti Noordin, Ketua Jabatan Pediatrik Hospital Cyberjaya berkaitan latar belakang wad dan pesakit kanak-kanak. Seterusnya, peserta ziarah diberi kesempatan menyantuni pesakit dan waris di Wad 7A dan Wad 6A (lodger) Hospital Cyberjaya.
Turut hadir, Ustazah Shamrifah binti Dahalan, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Dakwah JAKIM dan En. Isma Fildza Hazry bin Ismail, Ketua Pegawai Pembangunan MyFundAction.
Hadir sama, para pegawai dan kakitangan MTMZA, Bahagian Dakwah dan MyFundAction.
Didoakan agar semua pesakit yang sedang mendapatkan rawatan di Hospital Cyberjaya khususnya di Wad Pediatrik dikurniakan kesembuhan dan semua waris dikuatkan semangat untuk menjalani prosedur rawatan.
ย ย ย ย ย