Program Ziarah Mahabbah MTMZA 2023

Program Ziarah Mahabbah MTMZA 2023

22-23 Julai 2023: Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA) telah melaksanakan Program Ziarah Mahabbah MTMZA 2023 ke Masjid Ar-Rahmaniah, Felda Lasah, Sungai Siput (U), Perak. Program tahunan yang dilaksanakan oleh MTMZA ini merupakan sebuah program kemasyarakatan yang mengetengahkan konsep ‘turun padang’ sebagai salah sebuah Masjid Utama Negara ke kawasan luar bandar.

Antara objektif penganjuran Program Ziarah Mahabbah MTMZA 2023 ini ialah merapatkan ukhuwah dan mengeratkan hubungan silaturrahim diantara kakitangan masjid dengan penduduk setempat selain mempelbagaikan aktiviti serta memperluaskan fungsi masjid.

Program ini telah berlangsung selama 2 hari 1 malam bermula 22 hingga 23 Julai 2023 dengan kerjasama Masjid Ar-Rahmaniah, Felda Lasah dan pihak Pengurusan Felda Lasah. Seramai 23 orang kakitangan MTMZA yang diketuai oleh Tuan Haji Nor Azamir Bin Haji Alias selaku Imam Besar telah menyertai Program Ziarah Mahabbah MTMZA 2023 pada kali ini.

Antara pengisian program yang telah berlangsung pada hari pertama adalah pertandingan mewarna dan acara sukaneka yang melibatkan semua peringkat umur, Ceramah Khas Sempena Maal Hijrah yang disampaikan oleh Imam Besar MTMZA, Majlis Makan Malam ‘Kenduri Sekampung’ dan penyampaian sumbangan kepada asnaf Felda Lasah dan Masjid Ar-Rahmaniah.

Program hari kedua pula dimulai dengan Kuliah Subuh Khas yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Radhi bin Abdul Ghani, Penolong Pengarah Kanan MTMZA. Diikuti dengan Program Semai Bakti (Tanaman Pokok Nanas), Program 10,000 Langkah, Pertandingan Memancing di kolam ikan yang diusahakan oleh peneroka Felda Lasah dan Lawatan ke Ladang Madu Kelulut yang juga diusahakan oleh salah seorang peneroka.

Program Ziarah Mahabbah MTMZA 2023 di Masjid Ar-Rahmaniah diakhiri dengan majlis penutup yang dihadiri oleh Tuan Haji Nor Azamir bin Haji Alias, Imam Besar MTMZA, En. Wan Fauri Razman bin Wan Ahmad Kushaari, Pengurus Rancangan Felda Lasah. Turut hadir ialah Dr. Ahmad Fadhil bin Mohamad Shahidi, Pengerusi Masjid Ar-Rahmaniah, Ahli Jawatankuasa Masjid Ar-Rahmaniah serta pegawai kanan dan peserta rombongan dari MTMZA.

Pihak MTMZA merakamkan ucapan jutaan terima kasih atas kerjasama dan layanan terbaik yang diberikan oleh seluruh warga Felda Lasah, khususnya Jawatankuasa Masjid Ar-Rahmaniah dan pihak Pengurusan Felda Lasah. Tidak dilupakan dengan kerjasama daripada pihak JKKR, GPW, KAF dan MBFM Felda Lasah.

Semoga jalinan ukhwah yang terbina sepanjang berlangsungnya Program Ziarah Mahabbah MTMZA 2023 ini akan terus berkekalan dan sentiasa mendapat naungan dan rahmat Allah SWT.

        

 

Leave a Reply

Close Menu